Followers

Saturday, July 3, 2010

Tanpa Mu Di Sisi

Dugaan kasih Iqmal Danish, Zukhrina Syamimi

TANPAMU Di Sisi karya Rabihah Nur Ridhuan memaparkan kisah pilu, Zukhrina Syamimi atau Nina yang terpaksa berkahwin dengan Iqmal Danish, lelaki yang dikenali melalui laman siber ekoran kesilapan berdua-duaan dalam kereta, saat pertama kali bertentang mata.

Ekoran perkahwinan itu, Nina dibuang keluarganya apabila ibunya, Puan Shamsiah dan kakak kesayangannya, Zurin menghalaunya dari rumah kerana tidak sanggup menanggung malu atas kesalahan Nina sehingga mencemar nama baik keluarganya.

Danish yang diharapkan menjadi pelindung berubah sikap ekoran peristiwa itu, malahan segala pujuk rayu dan sikap romantiknya hilang sebaik saja mereka bergelar suami isteri, sedangkan pemuda itu selalu mengungkap kata cintanya lewat pertemuan di alam maya.

Nina dirasakan beban bagi Danish lantaran bapanya, Datuk Mat Noh sudah memberi amaran kepadanya bahawa dia akan dibuang keluarga sekiranya lelaki itu melakukan perkara yang memalukan lantaran sikap suka berfoya-foya dan tidak bertanggungjawabnya.

Sungguhpun demikian, Danish tetap membawa Nina pulang ke Kuala Lumpur kerana berasa dia bertanggungjawab menjaga keselamatan Nina yang sudah bergelar isterinya apatah lagi gadis itu masih menuntut dalam tahun akhir jurusan perakaunan di Universiti Malaya (UM), tidak mempunyai tempat tinggal selepas dibuang keluarga.

Pembaca dibawa pengarang menyelami perasaan Nina yang sering menjadi mangsa kemarahan Danish, tetapi tetap bersabar kerana beranggapan bahawa suaminya sedang cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan serta fasa baru dalam kehidupan mereka.

Tanpa Nina sedari, Danish sebenarnya mula terpaut dengannya ketika pertama kali melihat wajah ayu Nina ketika berhubung di ruang siber, tetapi berasa berat hati untuk berterus-terang kerana takut Nina akan berubah laku serta tidak takut sekiranya perasaan itu diluahkan.

Danish juga semakin menyedari kepintaran Nina dalam bidang ekonomi dan perakaunan, malahan isterinya itu banyak membantunya dalam usah mengembangkan empayar perniagaannya walaupun Nina tidak pernah mengetahui siapa suaminya itu sebenarnya.

Perubahan positif Danish yang semakin bertanggungjawab dalam menguruskan perniagaan, mendatangkan rasa senang di hati Datuk Mat Noh dan Datin Rohaya, apatah lagi bapanya sudah bertugas di India bagi menguruskan masalah pelaburan di sana.

Putik cinta terus mekar bercambah dalam hati Danish terhadap Nina apatah lagi, idea bernas isterinya itu membuahkan hasil lumayan dalam pelaburan syarikatnya di wilayah Iskandar, Johor, lalu pemuda itu membawa isterinya bercuti di Cameron Highlands sebagai tanda penghargaan.

Danish juga merancang membeli rumah baru untuk mereka memandangkan rumah sewa mereka bakal diambil kembali pemilik asal yang bakal pulang dari luar negara, di samping merancang untuk membina kehidupan baru bersama-sama Nina.

Tetapi, malangnya langit tidak selalunya cerah apabila Datin Rohaya memberi khabar bahawa Datuk Mat Noh terbunuh dalam rusuhan pekerja di India hingga memaksa Danish ke sana bagi menguruskan segala hal berkaitan jenazah bapanya dan urusan perniagaan tanpa sempat memberitahu Nina.

Nina yang buntu dengan kehilangan Danish terus menanti lelaki itu, tetapi terpaksa berpindah daripada kediaman mereka kerana diarahkan oleh sekumpulan lelaki, malahan hidupnya terus berubah selepas ‘ditinggalkan’ Danish tanpa khabar berita.

Apakah yang terjadi kepada Nina dan dapatkah dia bertemu kembali dengan keluarganya? Mampukah dia bertemu kembali dengan Danish yang mencatat detik hitam dalam hidupnya? Dapatkah Danish berterus-terang kepada Nina mengenai perasaan cintanya yang disimpan sekian lama?

0 orang dah ngomen: