Followers

Thursday, July 18, 2013

Andai itu takdirnya...


Petikan dari utusan - 24/04/2013

Hidup tanpa anak

Islam melarang seseorang menasab anak orang sebagai anak sendiri. - Gambar hiasan 
PADA 17 Mac lalu, seorang rakan karib saya meninggal dunia. Dia dan suami telah berkahwin lebih 26 tahun. Namun takdir Allah menentukan dia tidak mempunyai anak. Selepas lebih 10 tahun berkahwin, saya pernah mencadangkan agar mengambil anak angkat. Saya katakan kepadanya: "Buat kawan bergaduh semasa kecilnya dan buat teman semasa tua." Dia tersenyum dan menjawab, "Aku tumpang anak you sudahlah." 
Saya faham kenapa dia tidak mahu mengambil anak angkat kerana dia sendiri seorang anak angkat. Dia dibesarkan bersama seorang abang (yang juga anak angkat) kepada sepasang suami isteri yang tidak mempunyai anak. Dia mengetahui status diri setelah dewasa dan apabila emak angkatnya meninggal dunia. Dia faham mengenai hukum dan hubungan anak dengan bapa angkat. Dia kata, "susah ambil anak angkat ni." 
Apabila dicadangkan supaya diambil anak saudara terdekat dan susukan sebagai anak susu. Itu juga ditolak kerana masih berasa hati dengan status sama yang ditanggungnya sebelum ini. Walaupun tidak mempunyai anak, sebagai pensyarah, dia mempunyai ramai pelajar. Ketika jenazahnya disemadikan, ramai para pelajarnya yang membantu sebagai tanda penghormatan terakhir. 
Saya selalu terfikir kehidupan tanpa anak dan melalui kehidupan seharian hanya bersama pasangan. Abang angkat arwah mempunyai ramai anak dan dia sering membawa mereka tinggal dengannya. Anak-anak saudara lah pengubat kesunyian dan mereka sentiasa bersama sehingga akhir hayat arwah.
Semasa saya baru pulang dari luar negara dan bekerja, terfikir juga jika saya tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak. Saya memandang di keliling dan melihat beberapa orang sepupu yang masih belum berkahwin. Mereka tinggal dengan ibu bapa dan terus berbakti kepada orang tua dan kini mereka berbakti kepada adik-beradik yang berkeluarga dengan membantu menjaga anak-anak mereka.
Keinginan
Di abad ke-21 ini ramai wanita bekerja yang belum berkahwin dan mungkin tidak akan berkahwin kerana faktor usia. Kerana mereka bekerja, mereka mungkin tidak terasa sunyi, apa lagi tinggal bersama kawan-kawan dan mengurus hujung minggu dengan baik. Namun apabila seorang demi seorang rakan serumah berkahwin atau kawan satu sekolah atau satu universiti berkahwin, kesunyian itu akan terasa juga. 
Keinginan untuk berkahwin akan sampai juga menyelinap ke jiwa. Sebagai wanita, keinginan untuk berumahtangga, dikasihi dan mengasihi, mengandung dan melahirkan anak adalah keinginan yang semula jadi. 
Berkahwin, menimang cahaya mata itu adalah satu kebahagiaan yang tidak dapat diceritakan kepada orang lain. Hanya yang pernah melaluinya sahaja yang dapat merasakan hikmah dan nikmat mengandung dan melahirkan anak. 
Walaupun melahirkan anak itu suatu kegetiran dan kepayahan yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata, namun sebaik sahaja anak itu selamat dilahirkan, seorang wanita terus menyimpan hasrat untuk melahirkan anak lagi. Itulah rahsia yang hanya Allah SWT sahaja yang tahu. 
Seorang wanita yang tidak berkahwin, tentunya tidak dapat merasa hikmah mengandung dan melahirkan anak. Naluri wanita memang inginkan kepada keluarga dan mempunyai anak, ramai wanita tidak berkahwin atau yang berkahwin tetapi tidak dianugerah Allah SWT anak, mengambil anak angkat.
Sebenarnya Allah menjadikan sesuatu itu dengan sebab dan hikmah di sebaliknya. Hari ini ramai anak yang berstatus angkat mendapat peluang hidup bahagia, penuh kasih sayang daripada ibu bapa angkat mereka. Islam melarang seseorang menasab anak orang sebagai anak sendiri. 
Menasabkan bermakna membin atau membintikan anak orang lain sebagai anak sendiri. Hukumnya berdosa. Nabi SAW pernah mengambil anak angkat dan memanggil anak angkatnya seperti anak sendiri telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhenti berbuat demikian. 
Seterusnya apabila Zahid menceraikan isteri, Allah SWT memerintahkan Nabi SAW mengahwini isteri Zahid untuk membuktikan bahawa hubungan anak angkat dengan keluarga angkatnya bukan hubungan mahram yang haram berkahwin. 
Namun Islam menggalakkan umatnya berbuat baik kepada anak yatim, fakir miskin dan anak terbuang. Memelihara mereka seperti anak sendiri dan memberi pendidikan dan menjadikan mereka manusia berguna dan berakhlak, sudah tentu diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda. 
Hari ini, dengan pengetahuan agama yang mencukupi, orang yang tidak mempunyai anak, masih mengambil anak angkat dan membesarkan anak-anak ini mengikut hukum. Perkara pertama dan utama ialah memastikan apabila anak-anak tersebut menjadi baligh, maka hubungan bukan mahram itu perlu dihayati. 
Bagi anak-anak angkat pula jangan membenci ibu bapa sebenar kerana memberi anda kepada orang lain. Sebenarnya anda perlu mensyukuri rahmat Allah SWT kerana anda tidak dibuang semasa dilahirkan, tidak dibunuh atau mati kelaparan kerana kemiskinan.
Malah dengan menjadi anak angkat, anda mendapat peluang hidup selesa dengan penuh kasih sayang dan diberi pendidikan hingga berjaya dalam hidup.

0 orang dah ngomen: